THYROID

Apabila disebut tentang tiroid, kita pasti membayangkan bengkak atau benjolan pada leher penghidapnya.

Di sebalik tanda bengkak tersebut, rasa panas, menggeletar, rasa cepat marah dan mudah berpeluh juga adalah tanda-tanda seseorang itu menghidap penyakit tiroid.





Tiroid ialah satu kelenjar di bahagian depan leher yang menjaga beberapa fungsi utama badan dan ia boleh mempengaruhi hampir keseluruhan tubuh dan membahayakan kesihatan.

Penyakit ini lebih kerap menyerang kaum wanita berbanding lelaki dan boleh juga berlaku semasa dan selepas kehamilan.

Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi kepada dua sama seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan triiodoktiroksin (T3).




Hormon tersebut mengawal kadar perjalanan kebanyakan fungsi badan yang dipanggil metabolisme. Peningkata hormon ini bermakna metabolisme badan meningkat dan begitulah sebaliknya jika hormon tersebut berkurangan.

Dengan metabolisme yang tinggi, penghidapnya mungkin akan berasa panas dan sebaliknya. Jadi, kelenjar tiroid membantu fungsi badan berlaku pada kadar yang selamat dan berkesan.

Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak melalui hormon perangsang tiroid.

Apabila hormon tiroid banyak, penyakit hipertoidisme berlaku dan sekiranya hormonnya sedikit ia akan menyebabkan penyakit hipotiroidisme. Penyakit kencing manis juga boleh menjadi punca pengeluaran hormon tiroid terganggu.


Diagnosis

Terdapat ujian dan pemeriksaan yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Penghidapnya juga berisiko akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Menurut pakar, leher perlu diperhatikan kerana kelenjar tiroid akan bergerak dengan tindakan menelan. Jika disentuh, dapat dirasakan bentuk kelenjar dan juga pergerakannya dengan menelan.

Selain itu, kulit dan mata juga boleh diperiksa disamping suhu badan serta berat badan boleh diamati untuk memastikan masalah kelenjar tiroid.


HIPOTIROIDISME

Penyakit tiroid jenis ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehinggakan hormon tidak dikeluarkan secukupnya.

Kebiasannya, penyakit hipotiroidisme ini disebabkan oleh keradangan pada kelenjar yang dipanggil tiroiditis.

Ia juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto, penyakit autoimun yang merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid.

Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid bekerja dengan lebih kuat dan ini menyebabkan kelenjar membesar yang dipanggil goiter dan lama-kelamaan, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Ujian paras darah hormon tiroid akan dilakukan untuk mengesahkan samada penghidapnya sememangnya penghidap hipotiroidisme atau tidak. Sekiranya paras hormon normal, mungkin individu tersebut mempunyai penyakit lain dan ujian lanjutan mungkin diperlukan.

Hormon tiroid juga akan diberikan supaya paras hormon tiroid badan kembali normal dan terdapat kemungkinan penghidapnya terpaksa mengambil hormon ini buat selamanya.

Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala dan ujian darah akan dilakukan dari masa ke masa untuk memastikan penyakit ini berada pada tahap terkawal.


HIPERTIROIDISME

Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon secara berlebihan dan mengakibatkan metabolisme tubuh meningkat. Ia lazim berlaku pada wanita sekitar usia 20 hingga 40 tahun.

Menurut pakar perbidanan dan sakit puan, Dr. Siti Aisyah, punca utama peningkatan aktiviti kelenjar ini adalah disebabkan oleh penyakit Grave. Lazimnya ia kelihatan pada bahagian mata penghidapnya.

Penyakit hipertiroid ini juga boleh menyebabkan ribut tiroid terutamanya apabila seseorang individu tersebut mengalami masalah kesihatan lain yang akut. Ribut tiroid ini menyebabkan penghidapnya demam, peningkatan degupan jantung dan juga perubahan fungsi otak seperti kekusutan pemikiran, sawan, cemas keterlaluan dan mungkin juga menyebabkan koma.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid dan ubat untuk mengurangkan degupan jantung juga mungkin perlu diberi.

Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, rawatan menggunakan iodin beradioaktif mungkin akan diberi untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga merupakan salah satu daripada kaedah rawatan yang boleh membantu.

Jika sekiranya individu mendapati terdapat bengkak kecil iaitu nodular pada kelenjar tiroid, pemeriksaan perlu dilakukan untuk mengetahui sama ada ia kanser atau pun masalah nodular biasa.

Pemeriksaan ultrabunyi dan juga biopsi atau penggunaan jarum perlu dilakukan dan rawatan lanjut akan dibincangkan ketika sesi rawatan kesihatan susulan.





Tiroid Semasa Hamil

Penyakit tiroid memberikan risiko dan membahayakan ibu hamil dan juga pada kandungan. Oleh itu, wanita hamil perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik bu mengandung.

Melalui sesi rawatan, wanita hamil boleh meneruskan kehamilan secara normal dan selamat walaupun disahkan positif tiroid. Dos ubat akan diubah secara berkala mengikut keperluan disamping ujian darah dan beberapa ujian yang lain diperlukan dan semasa hamil, rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan.

Terdapat kes sesetengah wanita yang menghidap penyakit tiroid selepas bersalin. Ia dipanggil postpartum tiroiditis dan kebiasaannya paras hormon ibu kembali ke paras normal dengan pantas.

Sumber : Harian Metro


You Might Also Like

0 comments

Catatan Zam Zarina